Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang
persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.
No. 74, Taman Seri Merapoh,
27210 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang. Darul Makmur.
26 Januari 2011
Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada
di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping
keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.
Sahabatku,
Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan
saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada
bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat
beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara
persediaan yang saya buat ialah mengulang kaji pelajaran dari pukul 8.00
malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.
Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan
perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika pada masa itu
saya kurang faham, saya akan segera bertanya guru supaya saya terus
dapat mengikuti pengajarannya.
Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya
belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan
saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha
mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak
menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan
sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan.
Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung
minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang
dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar
dan bertukar-tukar nota.
Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan
UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam
peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan
yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya
melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih.
Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan
saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk
saudara serta keluarga.
Sahabatmu,
.............................
(Khairi bin Zaideen )
Karangan yang baik sebagai panduan bagi pelajar.
ReplyDeleteSyabas, blog cikgu ini penuh dengan maklumat.
ReplyDelete