ASAL USUL BAHASA
MELAYU
Apabila kita ingin mengetahui asal usul sesuatu
bahasa, kita perlu mengetahui asal bangsa yang menjadi penutur utama bahasa
tersebut. Hal ini demikian adalah kerana bahasa itu dilahirkan oleh sesuatu
masyarakat penggunanya dan pengguna bahasa itu membawa bahasanya ke mana pun
ia pergi. Demikianlah juga halnya dengan bahasa Melayu. Apabila kita ingin
mengetahui asal usul bahasa Melayu, maka kita perlu menyusurgaluri asal usul
bangsa Melayu.
Walaupun sudah ada beberapa kajian dilakukan terhadap
asal usul bangsa Melayu, tetapi kata sepakat para ahli belum dicapai. Setakat
ini ada dua pandangan yang dikemukakan. Pandangan yang pertama menyatakan
bahawa bangsa Melayu berasal dari utara (Asia Tengah) dan pandangan yang kedua
menyatakan bahawa bangsa Melayu memang sudah sedia ada di Kepulauan Melayu
atau Nusantara ini.
Sebagai perbandingan, kedua-dua pandangan tersebut
diperlihatkan seperti yang berikut ini.
1.1.1 Berasal dari Asia
Tengah
R.H. Geldern ialah seorang ahli prasejarah dan
menjadi guru besar di Iranian Institute and School for Asiatic Studies telah
membuat kajian tentang asal usul bangsa Melayu. Sarjana yang berasal dari
Wien, Austria ini telah membuat kajian terhadap kapak tua (beliung batu).
Beliau menemui kapak yang diperbuat daripada batu itu di sekitar hulu Sungai
Brahmaputra, Irrawaddy, Salween, Yangtze, dan Hwang. Bentuk dan jenis kapak
yang sama, beliau temui juga di beberapa tempat di kawasan Nusantara. Geldern
berkesimpulan, tentulah kapak tua tersebut dibawa oleh orang Asia Tengah ke
Kepulauan Melayu ini (lihat peta pada Lampiran 1).
J.H.C. Kern ialah
seorang ahli filologi Belanda yang pakar dalam bahasa Sanskrit dan pelbagai
bahasa Austronesia yang lain telah membuat kajian berdasarkan beberapa
perkataan yang digunakan sehari-hari terutama nama tumbuh-tumbuhan, haiwan,
dan nama perahu. Beliau mendapati bahawa perkataan yang terdapat di Kepulauan
Nusantara ini terdapat juga di Madagaskar, Filipina, Taiwan, dan beberapa buah
pulau di Lautan Pasifik (lihat peta pada Lampiran 1). Perkataan tersebut di
antara lain ialah: padi, buluh, rotan, nyiur, pisang, pandan, dan ubi.
Berdasarkan senarai perkataan yang dikajinya itu Kern berkesimpulan bahawa
bahasa Melayu ini berasal daripada satu induk yang ada di Asia.
W.
Marsden pula dalam kajiannya mendapati bahawa bahasa Melayu dan bahasa
Polinesia (bahasa yang digunakan di beberapa buah pulau yang terdapat di
Lautan Pasifik) merupakan bahasa yang serumpun. E. Aymonier dan A. Cabaton
pula mendapati bahawa bahasa Campa serumpun dengan bahasa Polinesia, manakala
Hamy berpendapat bahawa bahasa Melayu dan bahasa Campa merupakan warisan
daripada bahasa Melayu Kontinental. Di samping keserumpunan bahasa, W.
Humboldt dalam kajiannya mendapati bahawa bahasa Melayu (terutama bahasa Jawa)
telah banyak menyerap bahasa Sanskrit yang berasal dari India.
J.R. Foster
yang membuat kajiannya berdasarkan pembentukan kata berpendapat bahawa
terdapat kesamaan pembentukan kata dalam bahasa Melayu dan bahasa Polinesia.
Beliau berpendapat bahawa kedua-dua bahasa ini berasal daripada bahasa yang
lebih tua yang dinamainya Melayu Polinesia Purba. Seorang ahli filologi
bernama A.H. Keane pula berkesimpulan bahawa struktur bahasa Melayu serupa
dengan bahasa yang terdapat di Kampuchea.
J.R. Logan yang membuat
kajiannya berdasarkan adat resam suku bangsa mendapati bahawa ada persamaan
adat resam kaum Melayu dengan adat resam suku Naga di Assam (di daerah Burma
dan Tibet). Persamaan adat resam ini berkait rapat dengan bahasa yang mereka
gunakan. Beliau mengambil kesimpulan bahawa bahasa Melayu tentulah berasal
dari Asia. G.K. Nieman dan R.M. Clark yang juga membuat kajian mereka
berdasarkan adat resam dan bahasa mendapati bahawa daratan Asia merupakan
tanah asal nenek moyang bangsa Melayu.
Dua orang sarjana Melayu, iaitu
Slametmuljana dan Asmah Haji Omar juga menyokong pendapat di atas.
Slametmuljana yang membuat penyelidikannya berdasarkan perbandingan bahasa,
sampai pada suatu kesimpulan bahawa bahasa Austronesia yang dalamnya termasuk
bahasa Melayu, berasal dari Asia. Asmah Haji Omar membuat huraian yang lebih
terperinci lagi. Beliau berpendapat bahawa perpindahan orang Melayu dari
daratan Asia ke Nusantara ini tidaklah sekaligus dan juga tidak melalui satu
laluan. Ada yang melalui daratan, iaitu Tanah Semenanjung, melalui Lautan
Hindi dan ada pula yang melalui Lautan China. Namun, beliau menolak pendapat
yang mengatakan bahawa pada mulanya asal bahasa mereka satu dan perbezaan yang
berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi dan komunikasi. Dengan
demikian, anggapan bahawa bahasa Melayu Moden merupakan perkembangan daripada
bahasa Melayu Klasik, bahasa Melayu Klasik berasal daripada bahasa Melayu Kuno
dan bahasa Melayu Kuno itu asalnya daripada bahasa Melayu Purba merupakan
anggapan yang keliru.
Bahasa
Melayu Moden berasal daripada bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu Klasik
berasal daripada bahasa Melayu Induk. Bahasa Melayu Induk berasal daripada
bahasa Melayu Purba yang juga merupakan asal daripada bahasa Melayu Kuno.
Skema ini juga memperlihatkan bahawa bahasa Melayu Moden bukanlah merupakan
pengembangan daripada dialek Johor-Riau dan bahasa Melayu Moden tidak begitu
rapat hubungannya dengan dialek yang lain (Da, Db, dan Dn). Dialek yang lain
berasal daripada Melayu Induk manakala dialek Johor-Riau berasal daripada
Melayu Klasik.
Berikut ini akan diperlihatkan cara perpindahan orang Melayu
dari Asia Tengah tersebut.
(a) Orang Negrito
Menurut pendapat Asmah Haji Omar sebelum
perpindahan penduduk dari Asia berlaku, Kepulauan Melayu (Nusantara) ini telah
ada penghuninya yang kemudian dinamai sebagai penduduk asli. Ada ahli sejarah
yang mengatakan bahawa mereka yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu ini
dikenali sebagai orang Negrito. Orang Negrito ini diperkirakan telah ada sejak
tahun 8000 SM (Sebelum Masihi). Mereka tinggal di dalam gua dan mata pencarian
mereka memburu binatang. Alat perburuan mereka diperbuat daripada batu dan
zaman ini disebut sebagai Zaman Batu Pertengahan. Di Kedah sebagai contoh,
pada tahun 5000 SM, iaitu pada Zaman Paleolit dan Mesolit, telah didiami oleh
orang Austronesia yang menurunkan orang Negrito, Sakai, Semai, dan sebagainya.
(b) Melayu-Proto
Berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa
orang Melayu ini berasal dari Asia Tengah, perpindahan tersebut (yang pertama)
diperkirakan pada tahun 2500 SM. Mereka ini kemudian dinamai sebagai
Melayu-Proto. Peradaban orang Melayu-Proto ini lebih maju sedikit daripada
orang Negrito. Orang Melayu-Proto telah pandai membuat alat bercucuk tanam,
membuat barang pecah belah, dan alat perhiasan. Kehidupan mereka
berpindah-randah. Zaman mereka ini dinamai Zaman Neolitik atau Zaman Batu
Baru.
(c) Melayu-Deutro
Perpindahan penduduk yang kedua dari Asia yang
dikatakan dari daerah Yunan diperkirakan berlaku pada tahun 1500 SM. Mereka
dinamai Melayu-Deutro dan telah mempunyai peradaban yang lebih maju daripada
Melayu-Proto. Melayu-Deutro telah mengenal kebudayaan logam. Mereka telah
menggunakan alat perburuan dan pertanian daripada besi. Zaman mereka ini
dinamai Zaman Logam. Mereka hidup di tepi pantai dan menyebar hampir di
seluruh Kepulauan Melayu ini.
Kedatangan orang Melayu-Deutro ini
dengan sendirinya telah mengakibatkan perpindahan orang Melayu-Proto ke
pedalaman sesuai dengan cara hidup mereka yang berpindah-randah. Berlainan
dengan Melayu-Proto, Melayu-Deutro ini hidup secara berkelompok dan tinggal
menetap di sesuatu tempat. Mereka yang tinggal di tepi pantai hidup sebagai
nelayan dan sebahagian lagi mendirikan kampung berhampiran sungai dan lembah
yang subur. Hidup mereka sebagai petani dan berburu binatang. Orang
Melayu-Deutro ini telah pandai bermasyarakat. Mereka biasanya memilih seorang
ketua yang tugasnya sebagai ketua pemerintahan dan sekaligus ketua agama.
Agama yang mereka anuti ketika itu ialah animisme.
1.1.2 Berasal dari Nusantara
Seorang sarjana Inggeris bernama J. Crawfurd
telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa,
Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang
tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa)
dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera (bahasa Melayu). Bahasa Jawa dan
bahasa Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di
Nusantara ini.
J. Crawfurd menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa
Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad
kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan
budaya beberapa abad lamanya. Beliau sampai pada satu kesimpulan
bahawa:
(a) Orang Melayu itu tidak berasal dari
mana-mana, tetapi malah merupakan induk
yang menyebar ke tempat
lain.
(b) Bahasa Jawa ialah bahasa tertua dan bahasa induk daripada bahasa
yang lain.
K. Himly, yang mendasarkan kajiannya terhadap
perbandingan bunyi dan bentuk kata bahasa Campa dan pelbagai bahasa di Asia
Tenggara menyangkal pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu Polinesia
serumpun dengan bahasa Campa. Pendapat ini disokong oleh P.W. Schmidt yang
membuat kajiannya berdasarkan struktur ayat dan perbendaharaan kata bahasa
Campa dan Mon-Khmer. Beliau mendapati bahawa bahasa Melayu yang terdapat dalam
kedua-dua bahasa di atas merupakan bahasa ambilan sahaja.
Sutan Takdir
Alisjahbana, ketika menyampaikan Syarahan Umum di Universiti Sains Malaysia
(Julai 1987) menggelar bangsa yang berkulit coklat yang hidup di Asia
Tenggara, iaitu Thailand Selatan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan
Filipina Selatan sebagai bangsa Melayu yang berasal daripada rumpun bangsa
yang satu. Mereka bukan sahaja mempunyai persamaan kulit bahkan persamaan
bentuk dan anggota badan yang berbeza daripada bangsa Cina di sebelah timur
dan bangsa India di sebelah barat.
Gorys Keraf di dalam bukunya
Linguistik bandingan historis (1984) mengemukakan teori Leksikostatistik dan
teori Migrasi bagi mengkaji asal usul bangsa dan bahasa Melayu. Setelah
mengemukakan hujah tentang kelemahan pendapat terdahulu seperti: Reinhold
Foster (1776), William Marsden (1843), John Crawfurd (1848), J.R. Logan
(1848), A.H. Keane (1880), H.K. Kern (1889), Slametmuljana (1964), dan Dyen
(1965) beliau mengambil kesimpulan bahawa "...negeri asal (tanahair, homeland)
nenek moyang bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina
(termasuk daerah-daerah yang sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya
merupakan kesatuan geografis".
Pendapat lain yang tidak mengakui bahawa
orang Melayu ini berasal dari daratan Asia mengatakan bahawa pada Zaman
Kuarter atau Kala Wurn bermula dengan Zaman Ais Besar sekitar dua juta
sehingga lima ratus ribu tahun yang lalu. Zaman ini berakhir dengan mencairnya
ais secara perlahan-lahan dan air laut menggenangi dataran rendah. Dataran
tinggi menjadi pulau. Ada pulau yang besar dan ada pulau yang kecil. Pemisahan
di antara satu daratan dengan daratan yang lain berlaku juga kerana berlakunya
letusan gunung berapi atau gempa bumi. Pada masa inilah Semenanjung Tanah
Melayu berpisah dengan yang lain sehingga kemudian dikenali sebagai Pulau
Sumatera, Pulau Jawa, Pulau Kalimantan, dan pulau lain di
Indonesia.
Proto homonoid yang dianggap sebagai pramanusia dianggarkan
sudah ada sejak satu juta tahun yang lalu dan ia berkembang secara evolusi.
Namun, manusia yang sesungguhnya baru bermula sejak 44,000 tahun yang lalu dan
manusia moden (Homo sapiens sapiens) muncul sekitar 11,000 tahun yang lalu.
Pada masa pramanusia dan manusia yang sesungguhnya di Asia Tenggara,
Asia Timur, dan Australia telah ada manusia. Hal ini dibuktikan dengan
ditemuinya Homo soloinensis dan Homo wajakensis (Manusia Jawa = "Java Man")
yang diperkirakan berusia satu juta tahun.
Pada masa ini wilayah tersebut
didiami oleh tiga kelompok Homo sapiens sapiens, iaitu orang Negrito di
sekitar Irian dan Melanesia, orang Kaukasus di Indonesia Timur, Sulawesi, dan
Filipina, serta orang Mongoloid di sebelah utara dan barat laut
Asia.
Masing-masing bangsa ini berpisah dengan berlakunya pemisahan
daratan. Mereka berpindah dengan cara yang perlahan. Orang Kaukasus ada yang
berpindah ke sebelah barat dan ada pula yang ke sebelah timur. Yang berpindah
ke arah timur seperti ke Maluku, Flores, dan Sumba bercampur dengan orang
Negrito. Yang berpindah ke arah barat mendiami Kalimantan, Aceh, Tapanuli,
Nias, Riau, dan Lampung. Yang berpindah ke arah utara menjadi bangsa Khmer,
Campa, Jarai, Palaung, dan Wa.
Hukum Bunyi yang diperkenalkan oleh H.N.
van der Tuuk dan diperluas oleh J.L.A. Brandes yang menghasilkan Hukum R-G-H
dan Hukum R-D-L dikatakan oleh C.A. Mees bahawa "Segala bahasa Austronesia
itu, walaupun berbeza kerana pelbagai pengaruh dan sebab yang telah disebut,
memperlihatkan titik kesamaan yang banyak sekali, baik pada kata-kata yang
sama, seperti mata, lima, talinga, dan sebagainya, mahupun pada sistem
imbuhan, dan susunan tatabahasanya. Perbezaan yang besar seperti dalam bahasa
Indo-Eropah, misalnya: antara bahasa Perancis dan Jerman, antara Sanskrit dan
Inggeris, tidak ada pada bahasa-bahasa Austronesia. Apalagi Kata Dasar
(terutama bahasa Melayu) tidak berubah dalam morfologi" juga menunjukkan
bahawa bahasa yang terdapat di Asia Selatan dan Tenggara berbeza dengan bahasa
yang terdapat di Asia Tengah.
Terima kasih kerana berkongsi ilmu yang bermanfaat. Teruskan usaha. ^^
ReplyDeletemaklumat sangat jelas.
ReplyDeleteTQ^^
ReplyDelete